Friday, August 5, 2011

Tasawwur Dakwah dan Tajdid Haraki Mendepani Isu Islam dan Pluraliti

Tasawwur Dakwah dan Tajdid Haraki Mendepani Isu Islam dan Pluraliti
Dr. Zulkifli Hasan
E-mel: zul361977@yahoo.com
Blog: http://zulkiflihasan.wordpress.com
1.0Pendahuluan
Pengalaman beinteraksi dengan pelbagai badan bukan kerajaan dan beberapa persatuan serta program ziarah tokoh gerakan Islam semasa menuntut di United Kingdom telah membuka minda dan mencetus tasawwur atau ‘worldview’ baru terhadap pendekatan dakwah yang lazimnya dikaitkan dengan slogan ‘Islamic Revivalism’ atau kebangkitan Islam. Di antara subjek yang menjadi perhatian utama penulis ialah pendekatan baru atau idea segar gerakan dakwah dalam mengharungi cabaran pluraliti. Melihat kepada perkembangan dunia Islam dan barat yang menuntut kepada sistem yang lebih demokratik melalui revolusi di Mesir, Tunisia, Libya, Yaman dan lain-lain negara termasuk angin perubahan di Israel, mahu tidak mahu pendekatan dakwah yang sedia ada perlu diperbaharui atau diberikan nafas baru dengan mengambil kira faktor dan fenomena setempat dan antarabangsa.
Dari aspek ini, penulis ingin melontarkan pandangan yang dianggap bukanlah baru tetapi merasakan ianya perlu diberikan perhatian oleh setiap jemaah atau pertubuhan Islam dalam menangani isu Islam dan pluraliti. Perlu diingatkan pluraliti di sini bukan bermaksud ‘pluralisme agama’ tetapi merujuk kepada kepelbagaian agama, bangsa dan warganegara. Bagi maksud perbincangan ini, penulis ingin mengutarakan beberapa konsep yang perlu dijadikan dasar dan tasawwur dakwah dalam konteks sama ada di negara majoriti penduduk Islam dan juga di mana orang Islam adalah minoriti. Konsep ‘al Ukhuwat al Muwatinun’, ‘al Ukhuwat al Insaniyyah’ dan ‘Dar al Da’wah’ yang dianjurkan oleh pendakwah kontemporari seperti Yusuf al Qaradhawi, Tariq Ramadhan, Fahmi Huwaidiy dan Muhammad Fathi Uthman perlu dijadikan topik perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan dakwah yang lebih segar dan berkesan.
2.0Tasawwur Dakwah
Penulis berpandangan, konsep-konsep yang amat penting untuk difahami ini merupakan hasil daripada intipati kefahaman pemikir dan pendakwah Islam ini melalui ilmu pengetahuan, pengalaman, pemikiran, pengamatan dan pengajaran yang diambil dari sejarah kebangkitan Islam. Hakikatnya, tasawwur dakwah dalam ruang lingkup tradisi melalui istilah umpamanya ahlu Zimmah, dar al Harb dan kafir Harb menimbulkan implikasi yang agak signifikan pada keberkesanan pendekatan dan metod dakwah. Dengan tertubuhnya negara bangsa setelah penjajahan di kebanyakan daerah Islam di dunia, gerakan dakwah pada hari ini perlu beroperasi dalam ruang lingkup tasawwur yang lebih bersifat kontemporari, universal, hikmah dan terbuka. Ini bagi menjamin keberkesanan dan kesesuaian strategi dakwah terutamanya mendepani isu pluraliti atau kepelbagaian kaum, agama dan warganegara. Istilah yang lebih segar dan kontemporari seperti al Ukhuwat al Muwatinun, al Ukhuwat al Insaniyah dan Dar al Da’wah dilihat amat bertepatan dengan keadaan semasa serta bersesuaian dengan peredaran zaman dan perkembangan dunia.
2.1 Al Ukhuwat al Muwatinun’
Di antara isu yang hingga ke hari ini ditimbulkan ialah hak-hak kaum minoriti di sesebuah negara yang majoritinya penduduk Islam. Hakikatnya, ramai yang mengklasifikasikan kaum minoriti bukan Islam ini sebagai ahlu Zimmah. Menjelaskan konsep ahlu Zimmah dalam konteks masyarakat pada hari ini, Yusuf Al Qaradhawi di dalam bukunya ‘Al Din wa al Siyasah’ berpandangan bahawa istilah ini lebih bersesuaian digantikan dengan ‘al Ukhuwat al Muwatinun’. Pandangan ini amat bertepatan kerana istilah ahlu Zimmah ini asalnya terpakai kepada kaum minoriti yang membayar jizyah untuk mendapat jaminan perlindungan manakala pada hari ini kaum minoriti seperti di Malaysia adalah berbeza.
Istilah ‘al Ukhuwat al Muwatinun’ ini dilihat mampu memberikan tasawwur baru kepada metod dan pendekatan dakwah kepada golongan bukan Islam. Siddiq Fadhil dalam ucapan dasarnya di Ijtima’ Harakiy ABIM tahun ini juga berpandangan bahawa konsep saudara senegara adalah amat bertepatan dalam merujuk kaum minoritI bukan Islam di Malaysia. Malahan dalam aspek ini, Yusuf Al Qaradhawi mengesyorkan skim cukai yang sama rata ‘dharibah takaful’ dengan mengambil kira status sebagai warga negara atau saudara senegara dan bukan lagi dalam bentuk jizyah. Ini disepakati oleh Fahmi Huwaidi di dalam bukunya ‘Muwatinun la Dhimmiyun’ yang berpandangan bahawa istilah ahlu zimmah ini perlu digantikan dengan istilah yang lebih tepat dalam konteks negara bangsa.
2.2Al Ukhuwat al Insaniyyah
Kerap kali menjadi topik hangat mengenai Islam mutakhir ini merujuk kepada isu tohmahan ketidakupayaan syariat untuk melindungi hak-hak asasi manusia. Tohmahan ini juga merupakan salah satu faktor menjadikan dakwah Islam dilihat tidak bersifat universal dan sering mendapat salah tanggapan umum. Persepsi seperti ini boleh diperbetulkan melalui konsep ’al Ukhuwat al Insaniyyah’ atau saudara sesama insan yang dibicarakan dengan terperinci oleh Yusuf al Qaradhawi. Istilah ini bukanlah perkara baru bahkan ia sebenarnya bertepatan dengan ruh ayat 70 surah al Isra yang bermaksud ”Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam”. Ayat ini dengan tegas mengatakan bahawa Allah memuliakan manusia dan mengiktiraf hak-hak asasi yang sebahagian besarnya adalah menjadi kewajipan setiap individu. Melalui intipati ayat ini, gerakan dakwah dan juga apa sahaja aktiviti dakwah perlu memberi perhatian kepada pengutamaan dalam melindungi dan memperjuangkan hak-hak asasi manusia agar dapat dilihat keuniversalan Islam itu secara hakiki.
Hakikatnya, jika dihayati dasar-dasar dan perintah Allah di dalam al Quran dan sunnah rasulNya, terlalu banyak nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang secara jelas menyentuh kewajipan menjamin hak-hak asasi. Dalam aspek ini, Muhammad Fathi Uthman di dalam bukunya ’Huquq al Insan baina al Syariah al Islamiyah wa al Fikri al Qanun al Gharbi’ menyatakan bahawa Islam lebih unggul melindungi hak-hak asasi manusia berbanding agama lain tidak kira sama ada ianya bersifat peribadi, pemikiran, politik, undang-undang, sosial dan ekonomi. Sehubungan dengan itu, gerakan dakwah Islam boleh mengambil pendekatan yang lebih terbuka dengan mengambil kira nilai-nilai yang bersifat universal. Gerakan dalam bentuk gabungan dengan badan bukan kerajaan termasuk gerakan dakwah agama lain ke arah menjamin keharmonian dan kerukunan masyarakat merupakan pendekatan yang amat relevan dalam konteks masyarakat masa kini.
2.3Dar al Da’wah
Menyentuh kepada konsep ’negara’, istilah tradisi yang sering digunakan bagi membezakan daerah penduduk Islam dengan bukan Islam ialah dar al harb. Melalui konsep ini jugalah timbulnya istilah kafir harb. Istilah-istilah ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan yang kurang baik kepada keberkesanan dakwah dan ini diakui sendiri oleh Yusuf al Qaradawi apabila membincangkan beberapa istilah yang merujuk kepada bukan Islam. Bergerak di dalam ruang lingkup tasawwur yang menganggap bukan Islam sebagai kafir yang diperangi menjadi satu permasalahan yang sangat besar implikasinya.
Menangani isu ini, Tariq Ramadhan berpandangan bahawa istilah dar al harb sudah tidak bersesuaian dengan konteks masyarakat pada hari ini. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa istilah kafir harb juga perlu didefinisikan semula. Sebagai alternatif, beliau berpandangan istilah dar al Da’wah adalah lebih bersesuaian dan bertepatan dengan keadaan dan bi’ah atau suasana yang ada pada hari ini. Adalah sangat tidak bertepatan di mana negara majoritinya bukan Islam yang memberi kebebasan beragama malahan lebih baik dari negara yang mengaku Islam diklasifikasikan sebagai dar al harb. Terdapat banyak negara yang ada pada hari ini tidak mempunyai ciri-ciri dan boleh diklasifikasikan sebagai dar al harb mahupun rakyatnya sebagai kafir harb.
3.0Tajdid Harakiy
Istilah al Ukhuwat al Muwatinun, al Ukhuwat al Insaniyah dan dar al Da’wah merupakan konsep yang perlu dijadikan tasawwur dakwah masa kini. Dengan ruang lingkup tasawwur dakwah yang bersifat universal dan kontemporari inilah yang akan dapat memberikan nafas baru bagi setiap gerakan dakwah. Penulis melihat anjakan pemikiran melalui tasawwur dakwah yang dinamakan ‘tajdid harakiy’ ini merupakan salah satu usaha ke aarah pembaharuan atau ‘renaissance’ kepada gerakan dakwah dalam memastikan keberkesanannya.
Apabila menyentuh isu tajdid, kerap kali istilah ini digunakan dalam ruang lingkup yang tidak luas. Melalui pemerhatian, tajdid sering kali digunakan dalam aspek ibadah iaitu merujuk kepada usaha menjauhi amalan bidaah. Pada hakikatnya, tajdid bukan sahaja perlu dari aspek ibadah, malahan ianya juga bersangkutan dengan ekonomi, sosial, politik, undang-undang dan lain-lain bahkan ianya juga menjadi satu tuntutan dalam gerakan dakwah. Dalam hal ini, usaha-usaha ke arah penyegaran semula tasawwur dakwah melalui konsep al Ukhuwat al Muwatinun, al Ukhuwat al Insaniyah dan dar al Da’wah ini merupakan satu tuntutan pemikiran bagi setiap daie’, gerakan dakwah termasuk institusi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat dalam usaha mentarbiyah dan menta’dib masyarakat.
Penutup
Tanggungjawab atau mas’uliah dakwah terletak pada setiap individu Islam. Usaha dakwah ini tidak akan mendapat natijahnya secara optimum melainkan dilaksanakan secara berjamaah. Keberkesanan gerakan dakwah juga amat bergantung pada tahap pemikiran dan tasawwur sesuatu jemaah dan individu itu sendiri. Dalam konteks masyarakat moden hari ini dengan perkembangan teknologi, peredaran zaman dan masa serta fenomena globalisasi, tasawwur dakwah juga perlu seiring ditransformasikan terutamanya dalam mendepani isu pluraliti yang agak kompleks ini.
Tasawwur dakwah yang ingin penulis tekankan dalam artikel ringkas ini merujuk kepada transformasi pemikiran dan kefahaman menangani isu Islam dan pluraliti melalui konsep al Ukhuwat al Muwatinun, al Ukhuwat al Insaniyah dan dar al Da’wah. Penulis berpandangan dan yakin, dalam konteks masyarakat umpamanya di Malaysia, potensi dakwah yang lebih signifikan bakal diterima sekiranya ruang lingkup dan tasawwur yang dibincang di atas menjadi dasar kepada strategi dakwah. Semoga pandangan yang dilontarkan ini boleh dijadikan manfaat atau sekurang-kurangnya pencetus idea ke arah ‘tajdid haraki’ demi memartabatkan Islam di persada dunia.
Best regards
Zulkifli Hasan

Isu gereja: Jangan buat kesimpulan melulu, kata Abim

Isu gereja: Jangan buat kesimpulan melulu, kata Abim

August 05, 2011
KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Selangor menggesa orang ramai tidak membuat kesimpulan melulu berhubung kontroversi serbuan diadakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya kelmarin.
Malam kelmarin, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama, yang menganjurkan majlis makan malam muhibah, tanpa waran.
Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.
Yang Dipertua Abim Selangor Khairuddin Abas berkata, walaupun tiada bukti mengaitkan program anjuran Harapan Komuniti dengan usaha mahu memurtadkan orang Islam, namun pihaknya memandang serius akan perkara itu.
Jelas beliau, serbuan yang dilakukan itu dibuat atas aduan yang dibuat kononnya terdapat unsur-unsur penyebaran agama lain ke atas orang Islam, bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam laporan awal yang dikeluarkan pihak Jais terdapat beberapa individu Muslim menyertai majlis  tersebut dan ia melanggar Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.
“Justeru, pihak Abim Selangor menggesa semua pihak tidak membuat kesimpulan melulu dan memberikan tekanan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak. Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.
Tambah Khairuddin, pihaknya juga mahu agar kontroversi itu diserahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mendedahkan perkara sebenar kepada umum.
“Abim Selangor merasakan bahawa inilah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warga Malaysia dalam mana-mana pertikaian yang wujud.
“Mengambil pendekatan popular apatah lagi kesimpulan yang sempit terutamanya dalam hal-hal yang sangat rapuh seperti ini amat berlawanan dengan semangat kerukunan hidup dalam kepelbagaian masyarakat,” katanya.
Tegas beliau, sepatutnya Jais sebagai sebuah agensi penguatkuasaan perlu dihormati selagi ia melaksanakan tugas dengan berlandaskan undang-undang.
“Abim Selangor juga berkeyakinan bahawa pihak berkuasa bertindak mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang.
“Justeru, sebarang tekanan dan campur tangan di luar skop perundangan dibimbangi akan menjejaskan proses siasatan dan usaha-usaha mencari fakta dan kebenaran dalam hal ini,” katanya.
Tambah Khairuddin, beliau percaya kontroversi ini boleh diselesaikan sekiranya semua pihak tidak bersikap prejudis antara satu sama lain.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat menyelesaikan perkara itu.
Beliau berkata  langkah itu akan diambil sebaik sahaja menerima laporan Jais, yang turut akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor.

Penjajahan Budaya Melalui Iklan Global

Penjajahan Budaya Melalui Iklan Global

FADHLINA SIDDIQ, Kuala Lumpur.



PAPARAN iklan produk gergasi sebuah minuman ringan multinasional di kaca televisyen yang menayangkan aksi berani dan berahi gabungan artis Pink, Britney Spears, Beyonce Knowles dan Enrique Iglesias nyata memualkan. Bagai direntap dhamir (hati kecil) saya apabila pertama kali iklan tersebut ditayangkan dengan kehadiran anak-anak kecil dan remaja belasan tahun yang seolah-olah terpukau dengan persembahan mereka.

Kegusaran saya semakin menebal apabila dari hari ke hari anak-anak kecil tersebut sudah pandai menggayakan aksi yang serupa. Saya amat hairan sebenarnya bagaimana iklan ini terlepas daripada sebarang penapisan atau sekurang-kurangnya diperlihatkan sensitiviti dan rasa hormat untuk tontonan umum.

Saya tidak peduli dengan bayaran atau keuntungan syarikat promosi dengan iklan yang membariskan artis ternama yang nyata pasti meraih keuntungan yang besar. Namun saya tidak akan dapat memaafkan sekiranya implikasi dan kesan iklan tersebut akan membobrokkan dan memperdaya minda generasi muda hari ini.

Strategi pemasaran yang membariskan artis ternama Barat Pink, yang terkenal dengan imej pelik dan aksi kurang sopannya. Tidak ketinggalan idola remaja dunia, Britney Spears yang mengundang kontroversi moral dan aksi berahinya. Ditambah dengan aksi lucah dan seksi Beyonce dan Enrique di dalam video klip masing-masing. Sekiranya ini yang dikatakan strategi pemasaran yang berjaya, saya akur. Tetapi jika ini yang akan dipertontonkan di layar televisyen di hadapan jutaan anak kecil dan generasi muda belia yang sedang membina jati diri dan baru hendak mengenal kehidupan, saya bangkang!

Saudara boleh bayangkan rasa cemas saya apabila melihat kostum mereka yang ternyata menjolok mata, ditambah pula dengan lenggokan dan aksi berahi yang ternyata jauh menyimpang dari nilai ketimuran dan sempadan agama. Yang lebih mengejutkan apabila lokasi kejam dan ganas sidang stadium ala Gladiator menjadi pilihan latar belakang iklan ini.

Mungkin dari sudut historiknya, sidang dewan tersebut merupakan kebanggaan tamadun Rom pada zamannya. Tidak kurang kesan kehebatan lakonan kepahlawanan Russel Crowe dalam filem Gladiator menjadi umpan menarik langganan dan keyakinan pelabur. Namun ternyata unsur tersirat yang mendalangi layar Gladiator tersebut tidak lebih daripada unsur keganasan, kekejaman serta pengorbanan yang tersia akibat kedangkalan dan kesombongan serta tidak sesuai untuk paparan masyarakat Islam di Malaysia.

Saya amat hairan bagaimana iklan ini dipaparkan tanpa sebarang saringan dalam usaha kita membina pemikiran generasi muda dan memantapkan pengisian Islam Hadhari. Saya sesungguhnya tidak nampak ke mana hala tuju iklan tersebut yang nyata hilang sensitivitinya, pupus moralnya malah tersingkir dari sebarang aspirasi budaya apatah lagi kehendak agama. Konservatif? Jumud? Saya terima! Kerana saya bukan lahir dari masyarakat yang melihat kelebihan material atau konsumerisme dalam memperkukuh bangsa.

Di akhir paparan iklan tersebut ada nota kakinya yang tertulis ``I punya cara''. Puas saya mengasah benak minda menafsir maksud frasa ayat tersebut. Seolah-olah menyorot kepada satu pilihan yang bersifat ateis dan terkini.

Malangnya jiwa saya tidak mampu menerima frasa tersebut. Malah saya bimbang sekiranya frasa tersebut disalahertikan. Mungkin saya akan dikategorikan sebagai golongan yang tidak up-to date atau tidak kontemporari kerana tidak faham dengan strategi pemasaran produk memandangkan begitulah kehendak arus pemasaran pengiklanan. Namun yang jelas perkara ini harus dilihat dalam konteks yang harus diperhalusi rasa sensitiviti dan hormatnya.

Saya yakin masih ramai lagi bilangan umat Malaysia khususnya ibu bapa atau sekurang-kurangnya individu yang prihatin terhadap isu implikasi iklan dan budaya konsumerisme yang mempunyai impak yang besar ke atas golongan remaja. Lebih utama bagaimana golongan muda memperkukuh daya saring agar tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif serta kecelaruan imej Barat khususnya dalam melahirkan pemimpin yang tidak terganggu jiwanya dan bebas dari sebarang kebobrokan penjajahan minda. Akhir kalam, saya tegaskan ini bukan ``kita punya cara''.


Sumber Utusan Malaysia (15hb Apr 2004)

ABIM kritik JAG

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Jabatan Agama Islam di negeri-negeri membuat siasatan terperinci mengenai kritikan biadap Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berhubung isu undang-undang Syariah yang secara langsung menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu apabila mempertikaikan pelaksanaan undang-undang Syariah di negara ini.

Naib Presiden Helwa ABIM Fadhlina Siddiq berkata sejak semalam, dua Jabatan Agama Islam Negeri iaitu Pahang dan Selangor sudah membuka kertas siasatan mengenai kritikan biadap dan berunsur penghinaan kepada agama Islam di negara ini.

Fadhlina, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Advokasi Syariah Malaysia (JAWAB), berkata aduan yang sama akan dibuat di negeri-negeri lain secepat mungkin.

"Kita mahu semua Jabatan Agama Islam negeri memainkan peranan bukan sekadar menyekat kritikan negatif, tetapi juga menghalang NGO berhaluan kiri 'mengganggu' Islam yang sudah diterima umum sebagai agama rasmi dan institusi raja-raja Melayu negara ini.

"Setakat ini, banyak negeri yang tidak merasai tempias daripada kritikan biadap JAG (Kumpulan Tindakan Bersama Untuk Persamaan Jantina) dan gabungannya terutama berkaitan isu sebatan yang akan dilaksanakan ke atas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarnor yang mengaku bersalah meminum minuman keras di khalayak ramai," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Terdahulu, Fadhlina mengumumkan penubuhan JAWAB.

Fadhlina berkata gesaan itu dibuat berikutan pelbagai kenyataan yang menghina dan menghiris perasaan umat Islam di negara ini oleh anggota JAG termasuk Sisters In Islam dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA).

"Kita tidak mahu kelewatan bertindak ke atas NGO seperti ini akan menjadikan imej agama Islam semakin tercalar dan kita juga bimbang jika sensitiviti masyarakat Islam terlalu diganggu, ia mampu menzahirkan tindakan di luar batasan," katanya.

Mengenai JAWAB, Fadhlina berkata ia sebuah jawatankuasa khas yang diwujudkan bagi memantau isu-isu syariah di negara ini dengan lebih proaktif dan berkesan.

Katanya JAWAB akan bertindak sebagai badan penyelaras untuk gabungan NGO Islam yang lain terutama daripada segi gerak kerja, maklumat dan kenyataan media secara bersama.

"JAWAB akan menjadi pusat maklumat bagi membolehkan orang awam dan NGO-NGO lain untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai isu-isu syariah di Malaysia," katanya.

Festival Busana Muslim Hina Islam

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Bahagian Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang serius penganjuran Islamic Fashion Festival atau Festival Busana Muslim di Kuala Lumpur, baru-baru ini yang gagal memenuhi serta mematuhi kehendak syariah serta konsep aurat yang digariskan di dalam Islam.
Helwa Abim berpandangan bahawa isu penjagaan aurat dan hijab adalah vital sekiranya masyarakat mahu membicarakan tentang fesyen Islam.
“Justeru, Helwa Abim merasa sangat kecewa dan terkilan dengan interpretasi fesyen Islam yang gagal dihayati dan difahami secara keseluruhannya, khususnya menyentuh isu penjagaan aurat yang menjadi elemen terpenting dalam penghayatan Islam secara keseluruhannya,” ujar Naib Presiden Helwa Abim, Fadhlina Siddiq dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Malah, katanya apa yang dipotretkan kepada masyarakat sewaktu penganjuran Islamic Fashion Festival itu nyata jauh tersasar dan mengelirukan masyarakat Islam sendiri malah serta merupakan unsur-unsur penghinaan terhadap Islam dengan jelas.
Tegasnya, menutup aurat dan hijab adalah lambang wanita Islam yang hadir dengan esensi murni yang signifikan untuk memelihara kehormatan, maruah dan melambangkan akhlaq seorang wanita Islam.
Tambahnya, aa bukan pakaian bermusim untuk pesta-pestaan serta bukan pakaian untuk melambangkan siapa yang lebih Islamik.
“Bahkan ia juga bukan interpretasi bahawa inilah pakaian Islam yang sebenar mengikut pandangan peribadi sesiapapun,” ujarnya.
Jelasnya lagi, anjuran menutup aurat bukan untuk pesta-pestaan semata-mata kerana ia adalah anjuran ketegasan wahyu dan perintah yang tuntas demi menjaga kehormatan dan maruah seorang wanita Islam sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran.
Beliau memetik maksud ayat Surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara-perkara yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan mereka perlu melabuhkan kain tudung mereka ke dadanya.
Begitu juga dengan firman Allah SWT di dalam Surah al- Ahzab, ayat 59 yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaian bagi menutup seluruh tubuhnya.
“Andai wanita Islam jelas tentang konsep dan anjuran syariat tentang kewajipan menutup aurat, tidak timbul soal fesyen Islam yang berterusan mahu dipesta-pestakan sedangkan ia jelas bertentangan dengan syariat dan sama sekali terpesong dari fahaman esensi kepentingan menutup aurat yang sebenar,” katanya lagi.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah penaung festival tersebut.
Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyatakan rasa kesal dengan penganjuran Festival Busana Muslim itu yang jelas menghina syariat Islam dan Rasulullah s.a.w.
Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon, pastinya pemikiran sempit itu semakin mencelarukan kefahaman muda-mudi terhadap Islam itu sendiri sehinggakan terdapat pemikiran Islam ala pemerintah Malaysia sekarang dan yang dituntut di dalam Al-Quran.
Justeru, Gamis mempersoalkan ke mana perginya badan-badan agama dan NGO Islam yang sebelum ini lantang dalam forum perdana menghuraikan kewajipan berpakaian seperti termaktub di dalam Surah An-Nur, ayat 31.
Katanya, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat adalah suatu penghinaan yang amat jijik dilemparkan kepada Islam.
Tegasnya, Gamis mengecam sekeras-kerasnya tindakan Rosmah yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. apabila salah satu fesyen mereka melukis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.
Tambahnya, sangat mendukacitakan jika rakyat Malaysia khususnya umat Islam masih tidak tersedar dan sensitif akan isu itu.
“Dulu umat Islam sangat sensetif terhadap isu murtad, kita juga berarak bantah kartun Nabi yang dibuat di Denmark. Kita juga tidak terlepas menyertai perarakan Maulidur Rasul, menyatakan sayangnya kita kepada Rasulullah, tetapi ini juga satu bentuk penghinaan terhadap Rasulullah, dan kita perlu bantah serta bertegas dengan mereka yang menganjurkannya," tegasnya.
Sehubungan itu, katanya  Gamis memuji tindakan pertubuhan tertentu yang akan mengadakan himpunan aman pada hari ini sebagai membantah tindakan penganjuran festival itu.
Sehubungan itu, katanya Gamis meminta anak muda dan Gamis negeri supaya turut sama turun menyatakan bantahan terhadap kemungkaran dan kemaksiatan terhadap Allah serta pengkhianatan ke atas muslimah seluruhnya di samping bersama menyedarkan masyarakat akan kepentingan kembali kepada Islam yang sebenar.

No Provision in Syariah Law For Community Service-ABIM

The decision by the Sultan of Pahang, Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah to commute model Kartika Sari Dewi Shukarno has drawn mixed responses from various Muslim NGOs, some claimed that the royal decree was against the syariah law, while others lauded the Sultan's decision.
Syariah law practitioners including the Muslim Lawyers Association (PPPM) were of the view that the decision by the Pahang Sultan is against the syariah law, but Minister in the Prime Minister's Department Dato' Seri Nazri Aziz, in lambasting the association, argued that the Sultan being the highest religious authority in the state has the right to commute the punishment.
The question of a Sultan's largely ceremonial role in Malaysia's constitutional democracy reached its peak during the height of the Perak Government takeover by Barisan Nasional last year when three Pakatan Rakyat assemblypersons defected from their respective parties. But the questioning of the Sultan's role as the highest authority in Islamic affairs by several parties was perhaps the first of its kind in recent years. PPPM also pointed out that the decision does not take into account the wishes of Kartika who wanted to be caned according to the Syariah law. Many syariah lawyers even though remain hopeful, fear that this could be a precedent to any future cases.
The dilemma of the issue has only raised more questions than clear answers. To what extent does the Sultan have the power to commute sentences imposed by the Syariah Court? To begin with, why does Kartika refuses to appeal the caning punishment?
Everybody seems want to give their views and everybody thinks they know what is best for Kartika and syariah law. But I believe what Kartika really want now is just to get the whole issue over and move on with her life. That is why she accepted the punishment and refuses to appeal to the court's decision.
In attempt to get a clearer explanation and views of the matter, Klik4Malaysia spoke to Fadhlina Siddiq, Vice President of Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) or the Malaysian Islamic Youth Movement.
Fadhlina appeared to be very careful in her remark so as not to offend the Sultan's decision or any parties. Nevertheless, she expressed her deep concern and disappointment over the Sultan's decree in the case.
"Muslim NGOs are disappointed with the Sultan's decision. The Sultan has the power to reduce the sentence. For instance, the number of cane strokes can be reduced to only one stroke, but not to the extent of removing the punishment." said Fadhlina, who is also a syariah lawyer.
According to Fadhlina, there is no provision in syariah law for community service. She questioned whether the Mufti or the State Islamic Council has given advice to the Sultan.
"The Sultan being the highest religious authority should support the ruling by the syariah court" said Fadhlina.
In sum, Fadhlina said that the issue is a matter of law. She hopes that Kartika's case would not be a precedent to any future syariah cases. What is important, she said, is to emphasise that the punishment was made in accordance with the law.
"...we need to increase the awareness about the existence of syariah laws" said Fadhlina in conclusion.
Sisters in Islam, as expected, have come out in support of the Sultan's decision to commute Kartika's caning sentence to community service.
After months of never ending debate and disagreement over Kartika's caning sentence, let's just hope that once the three weeks community service ends, we can close the Kartika episode and leave her and her family in peace.
It's time to move on...
KUALA LUMPUR, 5 Ogos: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Cawangan Negeri Selangor menggesa semua pihak tidak membuat kesimpulan melulu dan memberikan tekanan kepada mana-mana pihak berhubung pemeriksaan yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Yang Dipertuanya, Khairun Abas berkata, pihaknya memandang serius berita berkenaan.

Pemeriksaan tersebut dimaklumkan oleh pihak berkuasa hasil daripada laporan terdapatnya unsur-unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan dalam artikel 11(4).

Dalam laporan awal yang dikeluarkan pihak Jais terdapat beberapa individu muslim menyertai majlis tersebut dan ia melanggar Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

“Abim menggesa semua pihak sewajibnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan telus dan mencari kebenaran di atas peristiwa yang telah berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Abim Selangor merasakan bahawa itulah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warga Malaysia dalam mana-mana pertikaian yang wujud.

Menurutnya, mengambil pendekatan popular apatah lagi kesimpulan yang sempit terutamanya dalam hal-hal yang sangat rapuh seperti itu amat berlawanan dengan semangat kerukunan hidup dalam kepelbagaian masyarakat.

Beliau berkata, setiap institusi penguatkuasa yang wujud perlu dihormati selama mana mereka melaksanakan tugas yang diperuntukkan berlandaskan undang-undang.

Tambahnya, Abim Selangor juga berkeyakinan bahawa pihak berkuasa bertindak mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Justeru, ujarnya sebarang tekanan dan campur tangan di luar skop perundangan dibimbangi akan menjejaskan proses siasatan dan usaha-usaha mencari fakta dan kebenaran dalam hal ini.

“Pihak Abim Selangor juga kesal laporan akhbar yang membangkitkan kembali isu-isu penggunaan kalimah Allah, pengeboman gereja, sekatan Injil Bahasa Melayu yang mana ianya seolah-olah membangkitkan kembali rasa ketidakselesaan beragama yang telah kita nikmati selama ini,” ujarnya.

Katanya, Abim Selangor juga percaya sekiranya semua pihak bersikap tidak prejudis, terbuka dan yakin dengan proses perundangan sedia ada maka sebarang masalah mampu diatasi dan keharmonian hidup beragama yang dinikmati selama ini dipertahankan.