KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Jabatan Agama Islam di negeri-negeri membuat siasatan terperinci mengenai kritikan biadap Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berhubung isu undang-undang Syariah yang secara langsung menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu apabila mempertikaikan pelaksanaan undang-undang Syariah di negara ini.
Naib Presiden Helwa ABIM Fadhlina Siddiq berkata sejak semalam, dua Jabatan Agama Islam Negeri iaitu Pahang dan Selangor sudah membuka kertas siasatan mengenai kritikan biadap dan berunsur penghinaan kepada agama Islam di negara ini.
Fadhlina, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Advokasi Syariah Malaysia (JAWAB), berkata aduan yang sama akan dibuat di negeri-negeri lain secepat mungkin.
"Kita mahu semua Jabatan Agama Islam negeri memainkan peranan bukan sekadar menyekat kritikan negatif, tetapi juga menghalang NGO berhaluan kiri 'mengganggu' Islam yang sudah diterima umum sebagai agama rasmi dan institusi raja-raja Melayu negara ini.
"Setakat ini, banyak negeri yang tidak merasai tempias daripada kritikan biadap JAG (Kumpulan Tindakan Bersama Untuk Persamaan Jantina) dan gabungannya terutama berkaitan isu sebatan yang akan dilaksanakan ke atas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarnor yang mengaku bersalah meminum minuman keras di khalayak ramai," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.
Terdahulu, Fadhlina mengumumkan penubuhan JAWAB.
Fadhlina berkata gesaan itu dibuat berikutan pelbagai kenyataan yang menghina dan menghiris perasaan umat Islam di negara ini oleh anggota JAG termasuk Sisters In Islam dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA).
"Kita tidak mahu kelewatan bertindak ke atas NGO seperti ini akan menjadikan imej agama Islam semakin tercalar dan kita juga bimbang jika sensitiviti masyarakat Islam terlalu diganggu, ia mampu menzahirkan tindakan di luar batasan," katanya.
Mengenai JAWAB, Fadhlina berkata ia sebuah jawatankuasa khas yang diwujudkan bagi memantau isu-isu syariah di negara ini dengan lebih proaktif dan berkesan.
Katanya JAWAB akan bertindak sebagai badan penyelaras untuk gabungan NGO Islam yang lain terutama daripada segi gerak kerja, maklumat dan kenyataan media secara bersama.
"JAWAB akan menjadi pusat maklumat bagi membolehkan orang awam dan NGO-NGO lain untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai isu-isu syariah di Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment