Isu gereja: Jangan buat kesimpulan melulu, kata Abim
August 05, 2011

Malam kelmarin, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama, yang menganjurkan majlis makan malam muhibah, tanpa waran.
Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.
Yang Dipertua Abim Selangor Khairuddin Abas berkata, walaupun tiada bukti mengaitkan program anjuran Harapan Komuniti dengan usaha mahu memurtadkan orang Islam, namun pihaknya memandang serius akan perkara itu.
Jelas beliau, serbuan yang dilakukan itu dibuat atas aduan yang dibuat kononnya terdapat unsur-unsur penyebaran agama lain ke atas orang Islam, bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam laporan awal yang dikeluarkan pihak Jais terdapat beberapa individu Muslim menyertai majlis tersebut dan ia melanggar Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.
“Justeru, pihak Abim Selangor menggesa semua pihak tidak membuat kesimpulan melulu dan memberikan tekanan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak. Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.
Tambah Khairuddin, pihaknya juga mahu agar kontroversi itu diserahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mendedahkan perkara sebenar kepada umum.
“Abim Selangor merasakan bahawa inilah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warga Malaysia dalam mana-mana pertikaian yang wujud.
“Mengambil pendekatan popular apatah lagi kesimpulan yang sempit terutamanya dalam hal-hal yang sangat rapuh seperti ini amat berlawanan dengan semangat kerukunan hidup dalam kepelbagaian masyarakat,” katanya.
Tegas beliau, sepatutnya Jais sebagai sebuah agensi penguatkuasaan perlu dihormati selagi ia melaksanakan tugas dengan berlandaskan undang-undang.
“Abim Selangor juga berkeyakinan bahawa pihak berkuasa bertindak mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang.
“Justeru, sebarang tekanan dan campur tangan di luar skop perundangan dibimbangi akan menjejaskan proses siasatan dan usaha-usaha mencari fakta dan kebenaran dalam hal ini,” katanya.
Tambah Khairuddin, beliau percaya kontroversi ini boleh diselesaikan sekiranya semua pihak tidak bersikap prejudis antara satu sama lain.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat menyelesaikan perkara itu.
Beliau berkata langkah itu akan diambil sebaik sahaja menerima laporan Jais, yang turut akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor.
